GOMBAK – Polis masih mengesan pemilik blog yang memuat naik kandungan berunsurkan fitnah dan tohmahan terhadap bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya merakam dua percakapan daripada kedua-dua Timbalan Naib Canselor universiti terbabit.
“Buat masa sekarang, kita masih lagi menunggu masa yang sesuai untuk merakam percakapan bekas Naib Canselor (Mohd. Ekhwan).
“Siasatan masih berjalan dan masih mengesan pemilik blog,” katanya pada sidang akhbar Ops Palu, di sini hari ini.
Pada Isnin lalu, Mohd. Ekhwan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa pada Ahad lalu.
Beliau turut memaklumkan satu laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan dibuat berhubung fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.
Sebelum ini, ada pihak yang mendakwa hasil audit universiti tersebut menunjukkan ada salah guna kuasa dan penyelewengan serta tidak mematuhi proses perolehan yang mengaitkan nama Mohd. Ekhwan. – KOSMO! ONLINE