KUALA LUMPUR – Dikatakan keganasan rumah tangga sebagai punca memohon cerai kali ketiga, pelakon Linda Hashim meminta persoalan tersebut ditanyakan kepada suaminya, Beego.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, berkata, dia enggan memanjangkan cerita, sebaliknya menyatakan sudah melalui pelbagai perkara sebelum mengajukan permohonan tersebut.
“Itu boleh tanya Beego sendiri. Saya tak nak komen lebih-lebih mahupun panjangkan cerita.
“Cukuplah apa yang saya sudah lalui ini sebab semua saya dah rasa,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Pelakon filem Syaitan Munafik yang masih berteka-teki mengenai punca perceraian turut enggan membuka mulut berkaitan kewujudan orang ketiga.
“Saya tidak mahu cakap lebih-lebih (mengenai wujud orang ketiga),” ujarnya.
Jelas Linda, dia meneruskan perceraian memandangkan hatinya kini sudah kosong selain Beego juga mensia-siakan banyak peluang yang diberi.
“Untuk makluman semua, ini adalah permohonan cerai kali ketiga. Saya nekad teruskan perceraian ini. Sebelum adanya kali ketiga ini kan adanya peluang pertama dan kedua.
“Jadi, (peluang) kali pertama dan kali kedua itu sepatutnya harus dijaga dan diperbaiki tetapi saya tak nampak (kebaikan). Ini keputusan sukar tapi bersebab,” katanya yang sudah empat bulan tidak sebumbung.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan 6 Mac depan merupakan tarikh sebutan kedua bagi kes tersebut selepas Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, tidak muncul hari ini.
Menerusi makluman mahkamah, notis yang diserahkan kepada defendan iaitu aktor juga penyanyi itu tidak berjaya.
Linda mengajukan permohonan cerai terhadap Beego pada 17 Januari lalu di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Islam atas alasan tidak mempunyai persefahaman.
Ini merupakan kali ketiga dia menfailkan cerai memandangkan sebelum ini mereka sudah berpisah sebanyak dua kali.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 itu bercerai pada 27 Mac 2023, namun rujuk semula pada 9 April 2023 sebelum kembali berpisah beberapa bulan selepas itu.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – KOSMO! ONLINE