PUTRAJAYA – Tiga selebriti popular, Datuk Jalaluddin Hassan, Ziana Zain dan angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor difahamkan tiba di Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar pukul 9.30 pagi tadi.
Mereka bertiga dipanggil untuk memberi keterangan bagi kes rasuah membabitkan sebuah syarikat perunding kewangan.
Menurut pengawai yang ditemui di pos pengawal ketiga-tiga selebriti itu tidak masuk menggunakan pintu utama tempat pengamal menunggu sejak awal pagi.
“Sudah sampai puan. Mereka bersama pasukan penyiasatan,” ujarnya ketika disoal pengamal media.
Dalam pada itu, sumber mengesahkan Jalualuddin hadir ke SPRM pagi ini untuk membantu siasatan, namun tidak pasti waktu ketibaannya.
Pengurus kepada penyanyi Ziana Zain, Alin ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan penyanyi yang popular Madah Berhelah itu hadir pada pagi ini untuk memberi keterangan.
“Ya, betul Ziana akan hadir ke SPRM pada pagi ini. Tengoklah kalau ada rezeki,” saat ditanya Kosmo! tentang keizinan untuk mengambil gambar Ziana ketika masuk ke SPRM.
Difahamkan ketiga-tiga selebriti terbabit menerima bayaran sehingga RM400,000 daripada syarikat perunding kewangan tersebut.
Terdahulu, SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dengan pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Dalam operasi itu, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram didalangi syarikat perunding kewangan.
Siasatan terhadap selebriti berkenaan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM). – KOSMO! ONLINE