MELAKA – Seorang wanita dan anak perempuannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri barangan kemas pelanggan mereka bernilai lebih RM20,000 ketika membersihkan rumah tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh, S. Wairavi, 46, dan C. Tharshini, 19, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dihadapi mereka di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Wairavi didakwa mencuri sebentuk cincin emas milik lelaki berusia 61 tahun, manakala Tharshini pula berdepan dua pertuduhan mencuri seutas coker emas dan sepasang subang emas milik remaja perempuan berusia 17 tahun.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 10 pagi dan 6 petang di sebuah rumah di Taman Seri Mangga, Seksyen 1 di sini pada 1 Disember 2024 dan 13 Januari 2025.
Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan RM15,000 ke atas Wairavi dan RM8,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi Tharshini.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan Wairavi seorang ibu tunggal, manakala Tharshini sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang di sebuah institusi pengajian tinggi swasta.
Mahkamah membenarkan dua beranak itu diikat jamin RM20,000 dan menetapkan 17 Mac ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE