LONDON – Arsenal terpaksa akur apabila tidak dapat menandatangani bekas pemain Chelsea pada jendela perpindahan musim sejuk yang berakhir kelmarin sekali gus terlepas peluang untuk memantapkan jentera serangan.
Ketika mereka ke Sepanyol untuk beraksi menentang Girona pada perlawanan terakhir fasa liga, wakil Arsenal dilaporkan mengadakan rundingan bersama ejen pemain AC Milan, Alvaro Morata untuk melihat potensi perpindahan pemain itu.
The Gunners dilapor mengemukakan cadangan untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 32 tahun itu secara pinjaman, namun akhirnya mereka tewas dalam perebutan dengan Galatasaray.
Kelab Turkiye berkenaan dilapor mengemukakan tawaran lebih baik terutama bersedia untuk mendapatkan khidmat Morata secara kekal pada musim panas nanti berbanding Arsenal yang tidak mampu memberikan jaminan tersebut.
Arsenal dikatakan tidak bersedia untuk memberikan jaminan untuk mendapatkan khidmat Morata secara kekal apabila mereka mempunyai beberapa pilihan lain termasuk Ollie Watkins dan Victor Osimhen yang cuba dibeli pada Jun nanti.
Situasi tersebut menyebabkan skuad kendalian Mikel Arteta terpaksa berjuang untuk memburu gelaran Liga Perdana Inggeris sehingga hujung musim tanpa penyerang tulen apabila sekadar mengharapkan sentuhan Kai Havertz ketika Gabriel Jesus terpaksa disisihkan. – AGENSI