LONDON – Pemain sensasi Newcastle United, Anthony Gordon mahu rakan sepasukan tidak mendabik dada selepas mara ke pentas final Piala Liga Inggeris (EFL) dengan mewaskan Arsenal awal pagi tadi.
Pada aksi separuh akhir kedua itu, taktikal genius pengedali The Magpies, Eddie Howe menggunakan lima pemain pertahanan untuk mempertahankan kelebihan 2-0 yang dimiliki sebelum berjaya meraih kemenangan 4-0 secara agregat dengan tambahan gol menerusi Jacob Murphy dan Anthony Gordon.
Gordon berharap rakan-rakan sepasukan kekal bersikap rendah diri bagi memastikan misi untuk bergelar juara dapat direalisasikan pada musim ini.
“Buat masa ini kita masih belum menang apa-apa dan aksi final masih lagi jauh. Kita perlu kekal rendah diri (stay humble).
“Apa yang pasti, pujian wajar diberikan kepada jurulatih yang membuat percaturan tepat untuk memastikan pasukan melakukan tekanan sepanjang perlawanan,” katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir Newcastle mara ke pentas final Piala EFL adalah pada edisi 2023 sebelum tewas 0-2 kepada Manchester United di Wembley. – AGENSI