KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat 13 kes kartel tipuan bida membabitkan 561 perusahaan dengan nilai tender mencecah RM2.3 bilion.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tipuan bida merupakan salah satu pakatan atau cabang aktiviti kartel yang telah berlaku sejak sekian lama.
Kata beliau, ikhtiar mengekang aktiviti tipuan bida penting bagi memastikan ia tidak menggagalkan usaha kerajaan dalam memberi keutamaan kepada kaedah tender dalam tadbir urus perolehan.
“Tindakan kerajaan ke atas syarikat melaksanakan amalan antipersaingan mencerminkan komitmen kerajaan mewujudkan ekosistem persaingan yang sihat dalam pasaran.
“Ini sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti, mewujudkan pilihan dan harga barangan yang munasabah serta perkhidmatan yang kompetitif demi kepentingan pengguna,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai jumlah siasatan membawa kepada pendakwaan dan sabitan kesalahan yang berjaya di bawah Akta Persaingan 2010.
Terdahulu, Armizan berkata, sejak Akta 712 berkuatkuasa, MyCC telah menjalankan penyiasatan terhadap 339 perusahaan yang terlibat dalam pelbagai industri.
Kata beliau, antaranya industri pengangkutan, pengilangan, makanan, perkhidmatan, pendidikan, insurans, pertanian dan perolehan awam.
Beliau berkata, hasil daripada penyiasatan itu, MyCC telah mengeluarkan keputusan dapatan pelanggaran di bawah Seksyen 40 Akta tersebut yang melibatkan 14 kes meliputi 259 perusahaan.
“Sebanyak 257 perusahaan didapati terlibat dalam aktiviti kartel dan dua perusahaan didapati menyalahgunakan kedudukan monopoli. Kesemua keputusan tersebut telah menghasilkan penalti kewangan sebanyak RM571.5 juta.
“Kes terbesar MyCC adalah berkaitan pakatan kartel oleh lima pengeluar makanan ayam yang melibatkan penalti kewangan sebanyak RM415.5 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE