KUALA LUMPUR – Melantik selebriti penuh kontroversi untuk menjayakan program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman bertegas, pemilihan Rozita Che Wan sebagai hos Ramadan Cuit-Cuit Che Ta musim kedua bukan sekadar gimik untuk menarik perhatian penonton.
Menurut Suhaimi, 62, keputusan menampilkan selebriti berusia 51 tahun itu dibuat berdasarkan kelayakan dan kredibilitinya sebagai pengacara, bukan kerana kontroversi yang dikaitkan dengannya sebelum ini.
“Setiap selebriti yang dipilih adalah individu bertanggungjawab serta tidak bermasalah.
“Kalau pun ada isu, bukan masalah besar selagi mereka dapat atasi dan menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.
“Kita semua pernah melakukan kesilapan. Tapi kalau dapat perbaiki, masyarakat akan terima. Ada masanya tersilap langkah, tetapi kita perlu saling membantu untuk menjadi lebih baik,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sebelum ini, pelakon Kiah Pekasam itu berdepan kecaman selepas didakwa gagal melunaskan hutang hampir RM1 juta kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Bagaimanapun, pelaksanaan penghakiman terhadapnya ditangguhkan setelah dia berjaya membayar RM550,000, sebahagian daripada jumlah penuh pinjaman tersebut.
Mengulas lanjut, Suhaimi menegaskan RTM tidak akan mengeksploitasi isu sensasi selebriti semata-mata untuk menaikkan rating program.
“Itu tindakan tidak bertanggungjawab dan akan memakan diri.
“Untuk makluman, RTM mengetengahkan pengacara daripada pelbagai latar belakang, muka baharu, orang lama, semuanya diberi peluang.
“Ini membuktikan RTM tidak hanya menjemput individu tertentu sahaja,” ujarnya pada sidang media Puasa! Raya! RTM 2025 di Angkasapuri, di sini, hari ini.
Selain Che Ta, sebelum ini pernah timbul kontroversi membabitkan pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal yang direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah terbitan RTM.
Ini susulan kontroversi tular mendakwa Don atau Don Daniyal Don Biyajid, 40, mengeluarkan kenyataan mengelirukan tanpa sokongan dalil sah semasa bersiaran.
Program Cuit-Cuit Che Ta musim kedua bakal menemui penonton setiap hari pada pukul 6 petang, bermula 6 Mac ini. – KOSMO! ONLINE