BESUT – Seorang gadis orang kelainan upaya (OKU) fizikal menerima ujian berat apabila disahkan menghidap kanser payudara sembilan bulan lalu.
Ibunya, Wan Jah Daud, 50, berkata, penyakit barah itu disedari selepas ketulan di dada anaknya, Nor Syafiqah Ismail, 22, pecah pada April tahun lalu.
“Sebelum ini, kehidupan anak saya ceria selepas mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Tenang, Hulu Besut di sini.
“Tiba-tiba dia jatuh tertiarap menyebabkan ketulan di dadanya pecah. Pihak Hospital Besut mengesahkan ia (ketulan) adalah kanser,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung La, Hulu Besut baru-baru ini.
Wan Jah berkata, sebelum ini anaknya itu pernah mengadu sakit dada, namun hanya mendapat rawatan biasa di klinik berhampiran.
“Anak saya menjalani pembedahan selepas dikejarkan ke hospital sebaik ketulan dadanya pecah. Pada mulanya dia nampak seperti sudah pulih dan boleh kembali ke sekolah mengikut PPKI, namun tahap kesihatannya kembali merosot tujuh bulan kemudian,” katanya.
Wan Jah berkata, sejak itu Nor Syafiqah memerlukan penjagaan rapi. Anaknya itu terpaksa ditinggalkan bersendirian dengan dipantau jiran-jiran sewaktu dia dan suaminya keluar menoreh getah.
“Kami tiada pilihan, menoreh getah merupakan sumber pencarian kami bagi menyara keluarga dan membiayai kos perubatan Nor Syafiqah,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional Nor Syafiqah bernombor 11005-41-00011200-6 atau menghubungi wanita itu di talian 01140669210.