KUALA LUMPUR – Kredibiliti Datuk Amarjit Singh Gill semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila beliau dipilih sebagai Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) yang baharu.
Pada pemilihan yang berlangsung di Bangkok, Thailand hari ini, beliau yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menewaskan pencabar dari Indonesia, Raja Sapta Oktohari menerusi keputusan 24-17.
Lebih manis, kemenangan ke atas Raja Sapta yang juga Presiden Majlis Olimpik Indonesia (MOI) menyaksikan Amarjit mengikut jejak langkah bapanya, Tan Sri Darshan Singh sebagai Presiden ACC.
“Saya sangat terharu dengan amanah diberikan semua perwakilan yang memilih saya sebagai presiden baharu ACC. Ia satu penghormatan yang sangat besar selain bermakna kerana ibu pejabat ACC akan kembali ke Malaysia.
“Saya menerima tanggungjawab ini dengan penuh rendah diri selain sedia maklum semua perwakilan meletakkan harapan besar ke atas saya untuk membawa perubahan besar di Asia. Saya akan pastikan agenda OneAsia yang dibawa menjadi kenyataan,” katanya.
Sebagai rekod, jawatan Presiden ACC akhirnya bertukar tangan selepas penyandang terdahulu, Osama Ahmed Abdullah Al Shafar dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tidak bertanding selepas menerajui organisasi itu selama dua penggal.
Amarjit yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) sedar dengan cabaran bakal dihadapi selepas ini memandangkan arena sukan berbasikal dunia semakin mencabar.
“Presiden UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) juga sudah berjumpa dengan saya selepas pemilihan dan beliau (David Lappartient) memberitahu akan memberikan sokongan untuk pembangunan berbasikal Asia serta agenda OneAsia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE