GUA MUSANG – Seramai 15,000 anak peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh negara menerima bantuan kelengkapan sekolah secara berfasa menerusi sumbangan FGV Holdings Berhad (FGV) berjumlah RM2.25 juta.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, program bantuan komuniti itu dijalankan untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka.
Katanya, penyerahan kelengkapan persekolahan itu turut membabitkan beberapa tanah rancangan lain seperti di Felda Trolak di Perak selain Jengka dan Mempaga, Pahang termasuk di Raja Alias, Terengganu yang akan diadakan secara berfasa.
“Tajaan itu adalah untuk anak-anak peneroka Felda di seluruh negara dengan persiapan barangan persekolahan seperti pakaian seragam sekolah, set alat tulis, beg sekolah, stokin dan kasut sebagai persediaan memulakan sesi akademik 2025.
“Program Selamat Datang Ke Sekolah 2025 itu bermula dengan penyerahan sumbangan kepada 555 murid tahun satu Wilayah Felda Gua Musang,” katanya selepas merasmikan Program Selamat Datang Ke Sekolah 2025 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman di Felda Perasu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery memberitahu, penyerahan sumbangan program ke wilayah lain akan selesai pada 15 Februari ini dengan kerjasama wakil komuniti setempat.
Katanya, penglibatan FGV dalam program itu selama dua tahun berturut-turut selepas kejayaan program sama tahun lalu dengan jumlah tajaan sebanyak RM2.17 juta yang memanfaatkan seramai 14,500 pelajar di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE