PETALING JAYA – “Badan tegap dan sihat tubuh badan, helmet pun curi ke? Kasihan miskin sangat ni termasuk miskin jiwa.”
Itu kritikan seorang individu terhadap seorang lelaki yang tiada segan silu mencuri beberapa buah topi keledar yang ditinggalkan di atas deretan motosikal di laluan awam.
Menerusi video berdurasi kira-kira empat minit di media sosial itu menunjukkan seorang lelaki yang memandu kereta jenis Proton Iriz beberapa kali memberhentikan kenderaannya untuk ‘mengutip’ topi keledar tersebut.
Tindakannya itu mengundang kemarahan orang ramai, malah ada yang berkongsi maklumat lelaki berkenaan berdasarkan nombor plat kenderaannya itu.
Namun berdasarkan perkongsian salah seorang netizen, semakan mendapati kereta berkenaan didaftarkan menggunakan nama seorang wanita beralamat di Kepala Batas, Pulau Pinang.
“Dah ada kereta pun nak aniaya orang yang tunggang motosikal,” ujar Shah Nasrul.
“Dah terpampang nombor plat siap jenis kereta lagi. Semak dekat JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) sah dapat tahu siapa pemilik. Maka bertambah murahlah maruah mamat tu daripada topi keledar yang dicuri,” komen Ahmad Zaker.
“Kena kereta tu pinjam daripada adik-beradik dia atau kawan, memang kasihan pemilik kereta yang kena ‘hentam’,” kata seorang netizen. – KOSMO! ONLINE