BANGKOK – Seorang pemilik rumah di wilayah Nakhon Ratchasima yang sedang bersiap untuk mandi terkejut apabila mendapati seekor ular tedung sepanjang lebih tiga meter berada di dalam bilik air, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Sekumpulan anggota penyelamat tiba di rumah itu selepas dihubungi pemiliknya untuk mendapatkan bantuan.
Pemilik rumah berkata, dia ternampak ular besar melingkar dalam bilik air, menyebabkannya keluar dan menutup pintu untuk menghalang reptilia itu daripada melarikan diri.
Sejurus tiba, pasukan penyelamat membuka pintu bilik air dan mendapati ular itu bersembunyi di satu sudut tab mandi.
Anggota penyelamat menggunakan kayu bercabang dan menolak reptilia tersebut keluar dari tempat persembunyian sebelum mengeluarkannya dari bilik mandi.
Ular yang berukuran kira-kira 3.45 meter panjang dan seberat 13 kilogram itu diletakkan di dalam karung sebelum dilepaskan ke habitat semula jadi. – AGENSI