LEBIH sedekad menapak dalam industri seni, nama Nadeera kini tidak lagi tenggelam dalam bayangan industri. Wanita kecil molek itu membuktikan bahawa kerja keras dan keazaman mampu mengubah takdir.
Selepas bertahun-tahun berkalung gelaran penyanyi ‘sendu’, sinar mula menyuluh kerjayanya apabila dinobatkan juara program realiti Big Stage musim kelima. Kini, langkah lebih besar menanti apabila buat pertama kalinya, Nadeera berpeluang beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) dengan membawakan lagu Bukan Lagi Kita.
Seperti sedang bermimpi, pemilik nama penuh Farah Nadeera Zaini itu enggan berpeluk tubuh sebaliknya mahu sedaya upaya memberikan persembahan terbaik sekali gus merealisasikan impiannya sejak kecil.
“Sehingga kini, saya masih rasa seperti dalam mimpi. Pentas keramat AJL adalah impian sejak kecil. Setiap tahun, saya akan menonton pertandingan ini, membayangkan diri di atas pentas yang sama.
“Alhamdulillah, Allah akhirnya memberikan peluang untuk saya menggapai mimpi ini bertanding sebaris dengan orang-orang yang hebat,” katanya kepada HibGlam.
Turut dilabel sebagai antara pencabar utama, penyanyi berusia 32 tahun itu memilih untuk tidak terlalu meletakkan harapan tinggi.
Baginya, peluang berada pentas AJL itu sendiri sudah cukup besar sebagai pengiktirafan kepada perjalanan seninya.
“Apa pun, saya tetap bergantung kepada rezeki. Saya bersyukur diberi peluang untuk bersaing dengan nama-nama hebat. Jika ada peluang menang, itu bonus besar buat saya.
“Siapa sahaja yang tak nak menang? Sudah tentu kita nak menang dan tapi saya enggan meletakkan harapan nanti kalau tidak dapat, saya juga yang sedih,” ujarnya.
“Besar harapan orang-orang itu. Apa pun, saya tetap bergantung kepada rezeki. Kalau ada rezeki, adalah. Dapat masuk ke pertandingan ini pun saya sudah sangat bersyukur.
“Paling penting, saya mengharapkan doa daripada kalian semua,” ujarnya tersenyum.
Bakal bertanding sepentas dengan komposer lagunya sendiri, wanita asal Mersing itu langsung tidak menjadikan situasi tersebut penghalang untuk saling menyokong dan bertukar pendapat.
“Saya ada jumpa Hael untuk minta input, syukur dia banyak memberi nasihat berguna sepanjang proses persiapan saya kerana dia merupakan pemilik lagu ini. Dia seorang mentor yang hebat.
“Tetapi di atas pentas nanti, kami masing-masing akan memberikan ruang untuk fokus kepada persembahan sendiri,” tuturnya.
AJL39 kali ini menyaksikan 10 karya terbaik merebut gelaran juara. Selain Bukan Lagi Kita, pentas itu turut dihiasi dengan persembahan lagu-lagu seperti Diam (Hael Husaini), Puas Sudah (Aina Abdul), Hening Rindu (Marsha), Aura (Ernie Zakri), Terus Bersinar (Hafiz Suip) dan Sengaja (Amir Masdi).
Turut berentap lagu Saksama (Akim & The Majistret), Pujaanku (Kugiran Masdo & Aisyah Aziz) dan Risiko (Benzoloo, Ghidd, Isobahtos, Meerfly, Tuju & MK K-Clique). Kemuncak AJL39 akan berlangsung pada 16 Februari ini di Axiata Arena, Kuala Lumpur.