PUCHONG – Seramai 58 warga asing yang mengusahakan medan selera ditahan Jabatan Imigresen (JIM) dalam serbuan di Pusat Bandar Puchong, di sini, semalam.
Operasi bersepadu itu dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Bahagian ATIPSOM dan AMLA Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama satu minggu.
Menurutnya, medan selera itu beroperasi di atas tanah persendirian berkeluasan 1.6 hektar.
“Premis terbabit dipercayai diusahakan warga asing dari Myanmar dan Bangladesh yang berselindung di sebalik Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang telah tamat tempoh serta pemegang kad pelarian UNHCR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dalam serbuan tersebut, seramai 102 individu diperiksa terdiri daripada warga asing dan warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan, 58 warga asing ditahan, terdiri daripada 31 lelaki dan 10 wanita Myanmar, dua lelaki dan seorang wanita Indonesia, sembilan lelaki Bangladesh, empat lelaki warga India dan seorang lelaki Vietnam.
“Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 18 hingga 40 tahun ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE