PETALING JAYA – Selepas hampir dua tahun kembali rujuk, rumah tangga pasangan pelakon Linda Hashim dan Beego kembali menuju kehancuran.
Linda disahkan memfailkan cerai terhadap suaminya itu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada awal Januari lalu.
Peguam mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin memberitahu Linda atau atau Norhazlinda Hashim, 41, memfailkan cerai terhadap aktor itu bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1986 atas alasan sudah tiada persefahaman.
“Linda failkan perceraian ini pada awal Januari lalu disebabkan sudah tiada persefahaman,” katanya.
Fadzilah memaklumkan kes bakal disebut di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pagi Khamis (esok).
Berkongsi lanjut, Fadzilah berkata, Linda dan Beego sudah tidak tinggal bersama sejak nekad dengan keputusan untuk bercerai.
Terdahulu pada Mei 2023, Linda dan Beego hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak susulan mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac 2023.
Linda dan Beego atau Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu tiga orang cahaya mata Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – KOSMO! ONLINE