KUALA TERENGGANU – Seorang remaja perempuan maut digilis setelah motosikal dinaiknya tergesel dengan sebuah bas di Jalan Kemajuan di sini malam tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 8.25 malam itu, mangsa, Nur Damia Umairah Amir Aswadi, 18, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, remaja perempuan itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Beladau Kolam, Manir di sini dari pusat bandar raya.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha NVX ditunggangi mangsa dikatakan tiba-tiba memasuki lorong tengah dari kiri sebelum bergesel dengan sebuah bas.
“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum digilis bas berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, sewaktu kejadian pemandu bas tersebut dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kuala Berang, Hulu Terengganu setelah menghantar penumpang ke Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini.
Beliau berkata, pemandu bas berusia 70 tahun tersebut terselamat tanpa sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE