TAIPING – Pusat Peranginan Bukit Larut yang dihentikan operasi sejak November 2019 ekoran kejadian tanah runtuh akan dbuka semula dengan kaedah operasi baharu.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT)., Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, sepanjang tempoh itu sehingga kini, kawasan itu hanya dibuka kepada orang awam untuk aktiviti riadah dan pendakian dengan kemasukan atas risiko sendiri.
“Kerja-kerja baik pulih jalan dan cerun yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh bermula dari 2019 secara berperingkat dan dilaksanakan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Setelah mendapat nasihat JKR maka MPT selaku pihak yang menguruskan Pusat Peranginan Bukit Larut hanya membenarkan aktiviti pendakian dan riadah pada tempoh tersebut,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya mendapat peruntukan daripada Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membaiki dan menambah baik empat buah banglo atas Bukit Larut yang mana kerja-kerja itu telah siap tahun lalu.
“Sehubungan itu, pihak Majlis kini dalam usaha untuk membuka kembali operasi Pusat Peranginan Bukit Larut dengan beberapa pembaharuan pengurusan operasi,” katanya.
Beliau berkata, Pusat Peranginan Bukit Larut akan dibuka semula melibatkan operasi sewaan tiga buah banglo iaitu Banglo Beringin, Banglo Angkasa dan Banglo Tempinis.
Katanya, pihak yang berminat boleh menyewa keseluruhan banglo atau menyewa bilik di dalam banglo-banglo tersebut.
“Operasi sewaan kenderaan untuk naik ke atas juga akan dibuka kembali namun hanya untuk mereka yang menyewa penginapan banglo. Penyewa banglo akan diberi pilihan sama ada menyewa kenderaan untuk naik ke atas Bukit Larut atau mendaki naik dan mendaki turun.
“Bagi penyewa banglo yang mahukan aktiviti pendakian naik dan turun mereka juga akan ditawarkan operasi membawa naik beg melalui kenderaan dengan caj tertentu yang mana mereka hanya perlu mendaki dengan membawa beg keperluan mendaki sahaja,” katanya.
Khairul Amir berkata, bagi peminat rekreasi pula, operasi perkhemahan juga akan dibuka di mana mereka yang berminat boleh mejalani aktiviti perkhemahan di kawasan ditetapkan dan dibenarkan. – KOSMO! ONLINE