IPOH – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) memeterai perjanjian kerjasama eksklusif dengan Gamuda Berhad (Gamuda) untuk membangunkan infrastruktur di Perak Utara bagi mengatasi masalah bekalan air yang kritikal di kawasan terbabit.
Kerjasama itu akan menyaksikan bekalan air mentah dapat disalurkan dari Sungai Perak ke Bukit Merah, selain mewujudkan infrastruktur diperlukan untuk edaran air terawat.
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, pihaknya komited untuk menangani masalah bekalan air dan memastikan keselamatannya bagi penduduk negeri ini menjelang 2029.
“Dengan penduduk yang semakin bertambah dan ekonomi semakin berkembang, projek air ini penting bagi memastikan permintaan bekalan air bersih di peringkat domestik dan oleh pemain industri dapat ditunaikan.
“Apabila ia siap kelak, ia akan membantu memperkukuh pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan meningkatkan pengairan sektor pertanian di daerah itu,” katanya di sini hari ini.
PKNPk dan Gamuda akan bekerjasama dalam pelbagai aspek, termasuklah daripada segi rekaan, kejuruteraan awam dan struktur, utiliti, pengurusan risiko serta penggunaan tenaga keraja tempatan selain program latihan teknologi.
Pengarah Eksekutif Kejuruteraan Gamuda, Faris Mohd. Yusof berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjalin kerjasama eksklusif dengan PKNPk bagi melaksanakan mandat kerajaan negeri untuk mengatasi masalah bekalan air di Perak Utara.
“Kami akan menggunakan pengalaman luas dalam projek infrastruktur berkaitan air menerusi kerjasama ini,” katanya yang turut memberitahu antara projek itu termasuklah Skim Bekalan Air Fasa 3 Sungai Selangor dan Terowong SMART. – KOSMO! ONLINE