SEPANG – Tiada unsur sabotaj dikesan susulan insiden sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang nyaris terjatuh dari tingkat tiga bangunan parkir bertingkat Hospital Sultan Idris Shah, Serdang petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pemandu kereta memaklumkan insiden itu berpunca daripada kecuaian sendiri.
Beliau berkata, mangsa lelaki berusia 39 tahun itu memaklumkan tertekan pedal minyak secara tidak sengaja dan hilang kawalan lalu melanggar tembok di aras 3B parkir bertingkat tersebut.
“Kereta terlibat adalah jenis Honda WRV. Mangsa pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan dalam keadaan selamat.
“Akibat kemalangan itu, tembok penghalang parkir pecah dan serpihan batu terkena pada sebuah kereta jenis toyota avanza yang berada di bawah parkir berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987. – KOSMO! ONLINE