PETALING JAYA – Tiga selebriti yang dilantik sebagai duta sebuah syarikat perunding kewangan akan dipanggil memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), esok.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua selebriti itu dijangka hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 10 pagi bagi membantu siasatan berhubung Ops Sky.
“Mereka hanya dipanggil untuk dirakam keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Pembongkaran itu hasil serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia di 24 lokasi sekitar Lembah Klang dengan melibatkan penahanan 12 individu.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pelakon senior, Datuk Jalaluddin Hassan akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sekiranya dipanggil berhubung siasatan kes rasuah melibatkan sebuah syarikat perunding kewangan.
Selain Jalaluddin, dua lagi duta yang dilantik syarikat terbabit ialah angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan penyanyi Ziana Zain. — KOSMO! ONLINE