PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan lapan individu termasuk seorang jurutera awam dan tiga pemilik syarikat disyaki terbabit kes rasuah memonopoli projek kerajaan di Sarawak.
Difahamkan, kesemua projek yang ditawarkan melibatkan dua jabatan kerajaan di dua daerah negeri itu.
Perintah reman selama empat hari sehingga 8 Februari terhadap dua lelaki berusia dalam lingkungan 50-an dikeluarkan Majistret Sandy Yvette Freddy selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Miri.
Dua lelaki berusia dalam lingkungan 60-an direman sehari, manakala empat empat lagi suspek lelaki berusia 20 hingga 40 tahun direman lima hari.
Menurut sumber, kesemua suspek ditahan kira-kira pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari semalam di beberapa lokasi di Sarawak menerusi operasi khas.
“Siasatan awal mendapati perbuatan itu dilakukan pada 2006 sehingga kini. Kontraktor yang terlibat membenarkan lesennya digunakan menerima komisyen sehingga 10 peratus daripada nilai projek berkenaan.
“Pada masa sama, jurutera awam itu turut menerima upah kerana membantu mendapatkan projek-projek jabatan berkenaan,” katanya.
Dalam operasi tersebut, SPRM turut menyita sebuah kenderaan Proton X70, wang tunai RM450,000 dan barang kemas.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE