IPOH – Seorang lelaki berusia 61 tahun disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas kesalahan tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikalnya selama 23 tahun.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, pihaknya mengesan motosikal itu semasa pemeriksaan rutin di Jalan Silibin-Ipoh di sini hari ini,
“Setelah semakan dibuat, LKM kenderaan itu tamat tempoh sejak 2002. Tindakan tegas akan diambil terhadap pemiliknya kerana melanggar Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 yang mewajibkan semua kenderaan bermotor di jalan raya memiliki lesen yang sah,” katanya hari ini.
Beliau berkata, lelaki yang bekerja sebagai mekanik itu memberi alasan tidak memperbaharui LKM motosikalnya kerana ditunggang dalam kawasan taman perumahan.
Katanya, motosikal tersebut disita di bawah Seksyen 64 Akta JPJ dan dikenakan notis saman kerana tiada perlindungan insurans dan LKM motosikal.
“Kesalahan ini adalah serius kerana LKM bukan sahaja bukti kenderaan didaftarkan, tetapi juga memastikan pemilik membayar cukai jalan yang diperlukan serta memenuhi syarat keselamatan kenderaan,” katanya.
Mohammad Yusoff berkata, kenderaan tidak mempunyai LKM berisiko untuk tidak dilindungi insurans sekiranya berlaku kemalangan. Sabit kesalahan, pemiliknya boleh denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Mengulas mengenai Ops Motosikal sempena Tahun Baru Cina 2025 di Bulatan Silibin, beliau berkata, sebanyak 626 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan 584 kenderaan. – KOSMO! ONLINE