PETALING JAYA – Malaysia dan Uzbekistan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam beberapa bidang antaranya kesihatan, sains forensik, budaya, pendidikan dan pelancongan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, momentum itu bakal membawa lebih banyak peluang untuk melonjakkan ekonomi, pelaburan dan perdagangan yang memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.
“Saya dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev menyaksikan majlis pertukaran dokumen dua hala dan MoU.
“Momen ini juga bertitik tolak hasil susulan lawatan rasmi saya ke Uzbekistan pada Mei tahun lepas dalam menerokai sinergi kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar dalam hantaran sama turut memaklumkan, beliau dan Presiden Shavkat menikmati jamuan makan tengah hari bersama hari ini. – KOSMO! ONLINE