fbpx

Mahkamah akan lawat persekitaran lokasi kejadian kanak-kanak autisme hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Apartmen Idaman, Damansara Damai.

PETALING JAYA – Pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang didakwa mengabaikan anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin akan melawat kawasan persekitaran Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Bagaimanapun masa dan tarikh melawat kawasan itu belum ditetapkan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz mengemukakan permohonan lisan untuk melawat kawasan itu yang dikaitkan dengan siasatan kes Orang Hilang (OH) ekoran laporan polis yang dibuat Ismanira Abdul Manaf.

Ujar beliau, lawatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum Mahkamah Sesyen di sini meneruskan sesi pemeriksaan utama terhadap dua pegawai polis pada perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira.

Ini kerana pihak pendakwaan berpendapat, keterangan lanjut saksi pendakwaan keempat dan kelima Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin dan Asisten Superintendan, Nor Zaharuddin Sanip hanya boleh dikemukakan selepas lawatan dilakukan.

Sehubungan itu, Hakim Dr. Syahliza Warnoh yang mendengar perbicaraan menangguhkan sesi pemeriksaan utama terhadap kedua-duanya sementara menunggu lawatan dilakukan yang turut melibatkan penyediaan lojistik dan keselamatan.

Sebelum ini, perbicaraan yang bermula 3 Februari lalu mendengar keterangan dua jurugambar yang merakam gambar-gambar tempat kejadian berkaitan laporan polis yang dibuat Ismanira berhubung kehilangan anaknya.

Antara gambar yang dikemukakan di mahkamah termasuk lokasi `Orang Hilang’ ditemukan iaitu di tepi tebing laluan anak sungai berdekatan Blok R, Apartmen Idaman.

Peguam Haresh Mahadevan mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syahliza bersambung lagi esok.

Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan dan Ismanira yang kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI