WASHINGTON – Satu cahaya berwarna hijau muncul di sebalik awan merentasi timur laut Amerika Syarikat (AS) dan Kanada hujung minggu lalu, lapor laman berita Fox News semalam.
Sebanyak sembilan laporan telah difailkan selepas bebola api dilihat kira-kira pukul 3.45 pagi (waktu tempatan), Sabtu lalu.
Saksi-saksi melaporkan melihat bebola api itu dari Maryland, AS dan Ontario, Kanada, selain penampakan turut dilihat di negeri New Jersey, New York dan Pennsylvania.
Menurut Persatuan Meteor America (AMS), asal usul cahaya misteri itu datangnya dari sebuah meteor yang memasuki atmosfera Bumi.
“Sebuah meteor (berwarna) hijau yang mengagumkan, Sangat terang,” demikian menurut pemberitahuan Amaran Cuaca Teruk Atlantik Tengah di media sosial.
Ia turut berkongsi video yang dirakam menerusi sebuah kamera ribut dan aurora yang menghadap ke utara di Havre de Grace, Maryland. – AGENSI