SEPANG – Kes lelaki memukul isterinya di khalayak ramai di sebuah pusat beli belah di sini, baru-baru ini telah dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya (TPR) Selangor.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kertas siasatan telah disiapkan dan dirujuk kepada TPR negeri.
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan lanjut daripada pihak TPR.
“Selain itu, suspek telah dibebaskan dan diberi jaminan sementara oleh polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, lelaki berusia 50 tahun itu menghilangkan diri hampir seminggu selepas menampar isterinya dan akhirnya berjaya ditahan Ahad lalu.
Suspek kemudian ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Terdahulu, lelaki itu diburu polis susulan rakaman video tular memaparkan dia menampar isterinya di khalayak ramai di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya di Kota Warisan, di sini.
Perubatan lelaki itu sempat dirakam orang awam yang kemudian berkongsi rakaman video itu di media sosial. – KOSMO! ONLINE