fbpx

Keluarga wanita maut langgar lubang besar dapat ganti rugi RM181,200

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Seremban - GAMBAR HIASAN

SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan keluarga wanita yang maut  selepas melanggar lubang besar ditakungi air di Jalan Tampin-Gemas empat tahun lalu menerima ganti rugi dan pampasan berjumlah RM181,200.

Hakim Wan Fadhilah Wan Idris membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan plaintif iaitu suami mangsa, Luqman Hakim Hendon, 40, bersama tiga anaknya yang difailkan pada 12 Jun 2022.

Wan Fadhilah memutuskan kos kehilangan tanggungan dinaikkan kepada RM144,000, kos perubatan RM7,200 dan pampasan kecederaan mangsa dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM30,000.

Dalam prosiding itu, Wan Fadhilah turut memerintahkan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) menanggung 80 peratus liabiliti kecuaian, liabiliti terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kerajaan Malaysia dikekalkan 20 peratus.

Manakala sumbang salah ke atas mangsa, Norhamizah Mahadi sebanyak 10 peratus sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu sekali gus mengubah keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada 10 Jun 2024 yang memerintahkan Sains menanggung 70 peratus, manakala mangsa, Norhamizah menyumbang salah 10 peratus.

Mengikut fakta kes, dalam kemalangan pada pukul 5.50 pagi, 12 Februari 2020 di Kilometer 28, Jalan Tampin-Gemas, Norhamizah memandu kereta jenis Proton Persona bersama suaminya.

Ketika dalam perjalanan, Norhamizah, 35, melanggar lubang besar yang ditakungi air di lokasi menyebabkan keretanya hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan. Kejadian itu menyebabkan  Norhamizah maut di lokasi, manakala suaminya parah.

Siasatan mendapati, lubang tersebut berpunca daripada kecuaian dalam penyelenggaraan paip bawah tanah dan jalan raya oleh pihak Sains dan JKR. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI