PETALING JAYA – Peminat setia drama Curang Tanpa Niat meluahkan rasa tidak puas hati terhadap episod ke-27 hari ini apabila melihat Eshaal dan bekas isterinya, Elina seakan-akan mahu rujuk semula.
Lakonan mantap antara Shukri Yahaya dan Mira Filzah itu sekali gus membuatkan semua menjadi tanda tanya kerana keputusan rujuk itu mungkin akan diketahui dalam episod esok.
Dalam drama yang bersiaran pukul 10 malam tadi, kelihatan Eshaal meluahkan rasa sayangnya semula kepada Elina walaupun pernah mengkhianati cinta dan kepercayaan bekas isterinya itu.
Apa yang membuatkan netizen menjadi risau dan marah apabila Elina memaafkan sambil mengesat air mata bekas suaminya serta berkata anaknya, Shaima masih memerlukan seorang bapa.
Rentetan itu, kebanyakan peminat setia drama ini meluahkan rasa bengang serta risau jika Elina terbuka hati untuk kembali semula untuk menerima Eshaal walaupun perasaannya pernah dihancurkan gara-gara kecurangan suaminya itu.
Malah ada peminat mengugut mahu memboikot drama tersebut jika benar pasangan itu kembali rujuk kerana sudah membuatkan netizen menjadi bengang dengan sikap Eshaal selama ini.
“Khas untuk director (pengarah) kalau dua ni ‘getback’ (bersatu semula) kita jumpa di mahkamah,” komen Aina Hamzah.
“‘Kalau Elina ni kutip Eshaal ni, memang aku berhenti kerja esok,” komen Miss Latte.
“Kalau rujuk, memang aku boikot cerita ni. ‘Getback’ lahhhh, siap kau Elina,” komen Che Bul pula.
Drama popular arahan Eyra Rahman turut dibintangi oleh Sharifah Sakinah, Fadlan Hazim, Fauzi Nawawi serta Evertts Gomes berjaya membawa penonton ke sebuah kecurangan, konflik rumah tangga dan kesetiaan dalam perkahwinan. – KOSMO! ONLINE