KUALA SELANGOR – Sesak nafas dalam kereta menjadi punca kematian seorang wanita, Yong Jia Yein, 34, yang mayatnya ditemui dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan di Pantai Remis, Jeram di sini semalam.
Mayat wanita itu terdahulu dijumpai anggota Unit Peronda Polis (MPV) kira-kira pukul 2 pagi sewaktu melakukan rondaan di pantai tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azharudin Tajudin berkata, perkara itu diketahui hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat wanita berkenaan di Hospital Tanjong Karang, semalam.
“Saya dimaklumkan pihak hospital bahawa kematian wanita itu disebabkan sesak nafas akibat kekurangan udara di tempat yang tertutup. Justeru, polis masih mengklasifikasikan kes ini sebagai kes mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Jelas beliau, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak keluarga pagi tadi untuk urusan pengebumian. – KOSMO! ONLINE