LONDON – Pengendali Newcastle United, Eddie Howe mengakui rekod buruk di laman sendiri dapat dihapuskan dengan meraih keputusan positif pada aksi separuh akhir kedua Piala Liga Inggeris (EFL) bertemu Arsenal awal pagi esok.
Sebagai rekod, Newcastle gagal meraih sebarang mata selepas tewas dua perlawanan di St. James Park pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila akur dengan kekuatan Bournemouth dan Fulham baru-baru ini .
Menurut Howe, Piala EFL adalah saingan yang berbeza terutama apabila pasukan seperti sudah meletakkan sebelah kaki ke pentas final apabila memiliki kelebihan 2-0 selepas menewaskan Arsenal pada aksi pertama bulan lalu.
“Saya rasa kita tidak boleh bandingkan kekalahan dalam saingan EPL sebelum ini dengan perlawanan yang bakal kita harungi bertemu Arsenal nanti.
“Saya tidak tahu apa punca kita boleh tewas di laman sendiri, tetapi harus diakui kita beraksi dengan teruk ketika bertemu Bournemouth berbanding ketika menentang Fulham.
“Saya harap pasukan dapat lupakan segera kekalahan tersebut dan berusaha untuk bangkit kerana kita ada misi untuk ke final dan ini adalah perlawanan paling penting musim ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Howe percaya persiapan pasukan sedikit terjejas apabila bakal kehilangan khidmat Joelinton ekoran kecederaan selepas mengalami kecederaan sebelum ini.
“Joelinton mengalami kecederaan lutut tetapi saya tidak pasti sama ada serius atau tidak. Namun, kita boleh menarik nafas lega apabila penyerang berpengalaman, Callum Wilson sudah cergas sepenuhnya untuk diturunkan,” katanya.
Sementara itu, pemain The Magpies, Anthony Gordon mengakui rakan-rakan pasukan menagih sentuhan berbisa penggempur utama, Alexander Isak dalam misi menjejakkan kaki ke Stadium Wembley musim ini.
“Isak adalah penyerang terbaik di Eropah ketika ini dan sudah tentu kita harapkan sentuhan penyudahnya nanti. Dia memiliki kualiti yang tiada pada pasukan lain dan harap dapat membantu pasukan untuk melakar kemenangan nanti,” katanya. – AGENSI