PETALING JAYA – Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) disaran menyanyikan kembali lagu ABCDEFGST bagi membantah pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Dapsy namun mempunyai pilihan meminta singkatan GST ditukar kepada DAPST jika berasa malu dengan penggunaan singkatan GST.
“Kalau malu nak guna nama GST, jangan malu dan jangan segan tukar saja nama kepada DAPST. Itu pun kita boleh terima selagi mana bermanfaat untuk rakyat.
“Ataupun boleh terus nyanyi ABCDEFGST macam yang kamu nyanyi sebelum PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14),” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Dr. Muhamad Akmal berkata, bank dunia yang terdiri daripada pakar-pakar ekonomi terkenal turut mencadangkan supaya Malaysia memperkenalkan semula GST.
Menurut beliau, langkah itu bagi menambahkan lagi kewangan negara dan membantu membangunkan ekonomi daripada mengurangkan komitmen negara dengan memotong subsidi rakyat.
“Tetapi cadangan itu ditolak oleh Dapsy dan mengatakan tidak sesuai dilakukan masa kini walaupun 175 negara dalam dunia menggunakan cukai yang sama.
“Mungkin mereka lebih pandai daripada pakar ekonomi dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE