NEW DELHI – Satu majlis perkahwinan diadakan di sebuah balai polis di Surat, India selepas pergaduhan berlaku antara keluarga pengantin lelaki dan perempuan, lapor laman berita NDTV kelmarin.
Menurut Timbalan Komisioner Polis, Alok Kumar, pasangan tersebut iaitu Rahul Pramod Mahto dan Anjali Kumari sepatutnya berkahwin di Dewan Lakshmi.
Namun, majlis perkahwinan itu tiba-tiba dihentikan oleh keluarga pengantin lelaki kerana masalah kekurangan makanan yang dihidangkan kepada saudara dan tetamu.
“Kesal dengan tingkah laku keluarga pengantin lelaki, pihak pengantin perempuan dan keluarganya menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan,” kata Alok.
Tambahnya, pengantin lelaki dan keluarganya kemudian dipanggil ke balai polis untuk menyelesaikan perkara itu bersama pihak pengantin perempuan.
“Keluarga pengantin lelaki bersetuju untuk meneruskan perkahwinan selepas kami membantu mereka menyelesaikan perkara itu.
“Pengantin perempuan membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya pergaduhan jika mereka kembali ke dewan perkahwinan.
“Jadi, kami membenarkan mereka untuk menyempurnakan upacara (pertukaran kalungan bunga) dan berkahwin di balai polis,” kata Alok. – AGENSI