TELUK INTAN – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak perempuannya dalam kejadian di sebuah rumah di daerah ini November lalu.
Tertuduh yang berusia 57 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin.
Lelaki itu didakwa memperkosa mangsa yang ketika itu berusia 21 tahun di mana perhubungan tersebut tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin.
Perbuatan dilakukan di sebuah rumah di Teluk Intan pada pukul 12.30 malam, November 2024.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun serta tidak lebih 10 sebatan.
Media sebelum ini melaporkan, perbuatan keji seorang bapa yang disyaki melakukan sumbang mahram ke atas anak gadisnya sejak 10 tahun lalu terbongkar apabila lelaki itu ditangkap polis pada 22 Januari lalu.
Lelaki itu diberkas susulan laporan polis dibuat mangsa yang turut mendakwa diugut suspek supaya tidak mendedahkan kejadian menimpa dirinya kepada sesiapa. – KOSMO! ONLINE