KENINGAU – Minuman keras serta rokok tanpa cukai bernilai RM4,453,694.24 dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM)
dalam tiga serbuan berasingan semalam dan kelmarin.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, serbuan pertama membabitkan sebuah premis di Pekan Keningau pada Isnin lalu.
Beliau berkata, serbuan kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu menemui 335 katon minuman keras pelbagai jenis yang disyaki tanpa cukai kastam.
“Turut dirampas beberapa barangan lain termasuklah kenderaan, telefon bimbit dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM330,146.10. Hasil serbuan juga menahan empat lelaki termasuk tiga warga asing berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Yampil menyatakan serbuan kedua dijalankan kira-kira jam 2 petang hari sama di sebuah gudang di kawasan perindustrian Kampung Durok Jalan Keningau-Nabawan.
Menurut beliau, seorang lelaki berusia 29 tahun dan merampas sebanyak 3,905 katon dan 340 kotak minuman keras, kenderaan selain telefon bimbit dianggarkan bernilai RM1,970,684.14 dalam serbuan terbabit.
“Serbuan ketiga dijalankan pada pukul 12.15 tengah hari semalam. Sebanyak 80 kotak rokok pelbagai jenis dan kenderaan di gudang sama dirampas dengan nilai rampasan sebanyak RM2,152,864 membabitkan,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek yang ditahan didapati sebagai penjaga serta pekerja yang menjalankan aktiviti penjualan minuman keras serta rokok tidak berkastam ini.
“Suspek yang ditahan mendakwa menjalankan penjualan minuman keras dan rokok sejak awal November tahun lalu. Berdasarkan kenyataan suspek, pengurus kedai hanya akan menghantar minuman keras dan bekalan rokok di dalam kawasan terbabit yang hanya dijadikan sebagai tempat penyimpanan barang sebelum menjualnya di sekitar Keningau,” katanya. – KOSMO! ONLINE