SEREMBAN – Seorang pekerja cuci kereta dihukum penjara enam bulan dan didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba mencuri kabel telekomunikasi di Nilai pada hujung bulan lalu.
Majistret Syed Farid Syed Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh P.Nadaraja, 43, yang membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut menetapkan tertuduh dikenakan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Nadaraja didakwa telah cuba melakukan curi segulung kabel warna hitam jenis tembaga.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Nilai Perdana 1, Nilai lebih kurang 3 pagi pada 30 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ardelliza Iznaryanti yang mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk denda yang paling minimum memandangkan tertuduh menanggung isteri dan tiga orang anak.
Sementara itu, di kamar mahkamah berasingan dua rakan tertuduh, K.K.Navin Kumar, 42, dan Muhammad Ridhwan Mohd. Rosli, 35, didakwa atas pertuduhan menyembunyikan harta curi iaitu segulung kabel warna hitam jenis tembaga milik syarikat TM yang dilaporkan hilang.
Muhammad Ridhwan yang merupakan seorang duda membuat pengakuan bersalah dan didenda RM4,000 jika gagal bayar akan dipenjara tujuh bulan oleh Majistret Nurul Saqinal Rosli.
Manakala Navin Kumar tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan dibenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin. – KOSMO! ONLINE