WASHINGTON – Presiden Donald Trump mengumumkan penangguhan sebulan bagi pelaksanaan tarif 25 peratus ke atas Kanada dan Mexico selepas kedua-dua negara berjanji untuk mengukuhkan kawalan sempadan masing-masing, lapor agensi berita United Press International semalam.
“Kanada bersetuju mengukuhkan sempadannya untuk memastikan keselamatan perbasatan Amerika Syarikat di utara dan akhirnya menyekat aliran dadah maut seperti fentanyl ke dalam negara kita,” kata Trump dalam catatan di platform Truth Social semalam.
Tarif itu sepatutnya berkuat kuasa hari ini.
“Tarif (cukai import) yang diumumkan Sabtu lalu akan ditunda selama 30 hari bagi melihat sama ada perjanjian ekonomi muktamad boleh dimeterai dengan Kanada atau sebaliknya. Keadilan untuk semua,” tambah Trump.
Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau turut mengeluarkan kenyataan semalam dengan berkata, panggilan telefon antara beliau dan Trump membuahkan hasil.
“Kanada sedang melaksanakan program bernilai AS$1.3 bilion (RM5.8 bilion) untuk memperkukuhkan sempadan negara dengan bantuan menggunakan helikopter, teknologi dan kakitangan baharu.
“Kami juga meningkatkan penyelarasan dengan AS meningkatkan sumber untuk menghentikan aliran fentanyl.
“Hampir 10,000 kakitangan barisan hadapan sedang dan akan berusaha untuk melindungi sempadan negara ini,” katanya.
Awal semalam, Trump mengumumkan perjanjian serupa dengan Mexico.
“Saya baru bercakap dengan Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum. Beliau bersetuju untuk segera mengerahkan 10,000 askar tambahan ke sempadan yang memisahkan Mexico dan AS,” kata Trump. – AGENSI