TANJUNG MALIM – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersikap optimis sasaran 200,000 mobiliti pelajar antarabangsa yang menyambung pengajian mereka ke negara ini mampu dicapai dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya akan terus meneroka peluang kerjasama sektor pendidikan tinggi dengan pelbagai negara luar bagi meningkatkan mobiliti pelajar antarabangsa ke negara ini.
“Kita menjangkakan dalam tempoh beberapa tahun ini juga jumlah kehadiran atau mobiliti pelajar antarabangsa ke Malaysia akan bertambah dan seterusnya sasaran yang diletakkan mampu dicapai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan yang julung kali diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini hari ini.
Berhubung kerjasama strategik Malaysia dan Uzbekistan, Zamri memaklumkan ia mampu memberi impak positif yang melibatkan pertukaran tenaga pakar seperti ahli akademik dan penyelidik.
“Uzbekistan merupakan pintu masuk ke benua Asia Tengah yang dikelilingi negara-negara besar di samping turut mempunyai tenaga pakar dalam pelbagai bidang seperti sains sosial, kejuruteraan, dan teknologi.
“Langkah yang diambil ini merupakan kerjasama peringkat negara dengan negara atau G2G yang mana kita yakin ia akan memberikan hasil postif besar dalam hubungan pendidikan tinggi Malaysia-Uzbekistan,” katanya. – KOSMO! ONLINE