PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini dimaklumkan mayat Orang hilang (OH) iaitu kanak-kanak lelaki ditemui di tepi tebing laluan anak sungai berhampiran takungan air berdekatan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai di sini Disember 2023.
Saksi pendakwaan kedua, Koperal Sulaimen Razak, 42, yang juga jurugambar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata, berdasarkan foto-foto yang diambil terdapat kesan kecederaan di telinga kiri dan tangan kanan mayat tersebut.
Bagaimanapun semasa prosiding, saksi itu tidak mengesahkan mayat tersebut adalah Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin.
Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian, saksi itu berkata, mayat kanak-kanak tersebut berada di tepi tebing laluan sungai dengan takungan air di sebelah atas, manakala mangsa di sebelah bawah.
Pendakwa Raya: Gambar 23 dan 24 gambar apa?
Saksi: Gambar mangsa dijumpai di tepi tebing dengan takungan air di sebelah atas dan mangsa di bahagian bawah.
Pendakwa Raya: Gambar 30 gambar apa?
Saksi: Gambar lencana sekolah
Pendakwa Raya: Terletak di mana (lencana sekolah).
Saksi: Bahagian atas sebelah kiri poket pakaian mangsa.
Saksi ketiga, Koperal Nurul Khairina Mohammad Zuki, 35, anggota Balai Polis Sri Damansara berkata, beliau menerima laporan mengenai kanak-kanak autistik pada 5 Disember 2023 pukul 5.45 petang daripada wanita dikenali sebagai Ismanira.
“Dalam laporan itu, pengadu mengatakan pukul 12 tengahari dia mahu menaiki tangga untuk balik ke Blok R, pengadu menyedari anak lelakinya tiada di belakang.
“Pengadu ada menyatakan anaknya memberontak sebab tidak ikut kemahuan. Pengadu jelaskan anak lelakinya orang kelainan upaya (OKU) autistik dan tidak boleh bertutur,” kata saksi itu.
Semasa prosiding hari ini, peguam Haresh Mahadevan mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok.
Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan dan Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1, Damansara Damai pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE