MOSCOW – Pusat beli-belah di Russia berdepan penutupan besar-besaran ketika pemain industri bergelut menghadapi kenaikan cukai dan peningkatan kos pinjaman, lapor akhbar Daily Express semalam.
Perniagaan di seluruh negara itu digemparkan oleh keputusan Bank Pusat akhir tahun lepas yang menaikkan kadar faedah kepada rekod tertinggi sebanyak 21 peratus.
Langkah itu dibuat dalam usaha mengawal lonjakan inflasi yang kini berlegar sekitar 9.5 peratus.
Salah satu sektor yang paling teruk terjejas oleh krisis ekonomi yang semakin meningkat di Russia ialah sekotor peruncitan berikutan pengguna mengekang perbelanjaan mereka.
Ketika pakar-pakar meramalkan kenaikan kadar faedah selanjutnya, prospek untuk kebanyakan pusat beli-belah kelihatan sangat suram.
Sebanyak 200 pusat beli-belah telah mencapai keadaan pra bankrap dan berisiko ditutup pada 2025, demikian menurut Kesatuan Pusat Beli-Belah Russia.
“Kini pusat beli-belah menghadapi masalah untuk membayar pinjaman sedia ada, manakala pinjaman baharu tidak tersedia sepenuhnya kepada mereka,” kata Pengarah Urusan Majlis Pusat Beli-belah Russia (STC), Oleg Voitskhovsky.
“Ini membawa kepada masalah bagi keuntungan dan keupayaan untuk mengekalkan bangunan dalam keadaan yang baik dan menambah baik konsep serta dekorasi,” tambahnya.
Sebilangan pemain industri lain turut berdepan risiko bankrap besar-besaran ketika ia bergelut memenuhi kehendak pasaran di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang mencabar.
Ia termasuk syarikat arang batu, firma teknologi maklumat dan syarikat penerbangan. – AGENSI