SEOUL – Penggunaan beras sebagai sebahagian daripada makanan ruji di Korea Selatan dijangka menurun sebanyak 15 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang, lapor akhbar The Korea Times semalam.
Menurut Institut Ekonomi Luar Bandar Korea (KREI), penurunan itu disebabkan perubahan dalam trend makanan selain pengurangan pengeluaran beras negara.
Jumlah penggunaan beras pada pada tahun ini diunjurkan kepada 2.73 juta tan, kata KREI.
Menurut laporan tahunan KREI, penggunaan beras dijangka terus menurun kepada 2.69 juta tan tahun depan, 2.53 juta tan (2030) dan 2.33 juta tan (2035).
Penurunan penggunaan beras adalah disebabkan oleh pengaruh trend pemakanan Barat yang semakin meningkat, manakala terdapat lebih banyak sumber karbohidrat bagi menggantikan nasi.
Peningkatan orang yang tidak mengambil sarapan juga menyumbang kepada penurunan penggunaan beras.
Menurut tinjauan trend penggunaan makanan KREI, secara purata, kekerapan orang terlepas sarapan setiap minggu adalah pada kadar nisbah satu bagi setiap 44 orang.
Faktor itu mula menjejaskan penggunaan beras negara seawal 2014.
Menurut Statistik Korea Selatan, dari 2014 hingga 2023, penggunaan beras menunjukkan penurunan secara purata 1.6 peratus dari tahun ke tahun.
Kawasan sawah padi pula dijangka berkurangan daripada 682,000 hektar tahun ini kepada 623,000 hektar pada 2035.
Menurut KREI, jurang itu boleh menjadi lebih besar dengan rancangan berterusan kerajaan untuk mengecilkan pengeluaran beras di seluruh negara. – AGENSI