PASUKAN Sri Pahang FC bakal membuat rayuan penggantungan pemain importnya, Kpah Sherman yang dijangka terlepas aksi final Piala Malaysia selepas mengutip kad kuning kedua ketika aksi separuh akhir bertemu Sabah FC, Ahad lepas.
Pengendalinya, Fandi Ahmad berkata, pihak pengurusan akan membuat rayuan berkenaan bagi memastikan penyerang kelahiran Liberia itu dapat beraksi pada final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 April depan.
“Kita akan cuba membuat rayuan untuk membolehkan Sherman bermain di pentas final. Pada masa sama, dia sudah bermain sejak awal saingan lagi dan jika tidak bermain di final, tidak cantiklah.
“Namun, jika dia buat silap atau melakukan kekasaran pada perlawanan separuh akhir kedua itu, kita terima (keputusan),” kata Fandi.
Sebagai rekod, Sherman telah dilayangkan kad kuning pada minit ke-70 sebelum muncul wira dengan meledak gol kemenangan untuk memastikan Tok Gajah menewaskan Sabah dengan agregat 3-2. – KOSMO! ONLINE