PETALING JAYA – Penunggang dan pembonceng motosikal masih kekal sebagai golongan yang mencatatkan angka korban tertinggi iaitu seramai 47 kematian sepanjang berlangsungnya Op Selamat 23 yang berakhir kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata bagaimanapun jumlah ini menunjukkan penurunan berbanding Op Selamat 21 yang merekodkan sejumlah 82 kematian.
Beliau berkata, sepanjang operasi yang bermula 28 Januari lalu, jumlah kematian mencatat penurunan dengan 66 kematian berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 117 kematian.
“Dalam operasi kali ini, sebanyak 7,882 kes kemalangan direkodkan iaitu penurunan sebanyak 902 kes atau 10 peratus berbanding sejumlah 8,784 kes dalam operasi sama pada tahun lalu.
“Jumlah kemalangan maut turut merekodkan penurunan dengan catatan berjumlah 64 kes berbanding 104 kes pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Op Selamat 23 Sempena Tahun Baharu Cina 2025, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, berdasarkan prestasi keseluruhan Op Selamat 23, terdapat peningkatan ketara aliran trafik di seluruh negara iaitu sebanyak 36.6 juta kenderaan sehingga Januari lalu.
“Sungguh pun begitu, saya berasa lega kerana sepanjang Op Selamat 23 berlangsung, hanya sejumlah 10,715 kenderaan terlibat dalam kemalangan,” katanya.
“Ia menunjukkan penurunan sebanyak 1,699 kenderaan bersamaan 14 peratus berbanding 12,414 kenderaan yang direkodkan semasa Op Selamat 21 edisi Tahun Baharu Cina,” ujarnya.
Sepanjang operasi tersebut, PDRM menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah menetapkan sebanyak 407 lokasi Hotspot dan 76 lokasi Blackspot di seluruh negara melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan.
Dalam majlis yang sama, Ketua Polis Kuala Lumpur dan JPST Kuala Lumpur juga melancarkan penerbitan Buku Road Safety in Kuala Lumpur City Year 2022 – 2023.
Buku laporan ini yang mengandungi data nahas jalan raya di Kuala Lumpur bagi tahun 2022 sehingga tahun lalu , adalah merupakan hasil kerjasama JSPT KL dengan Vital Strategies di bawah inisiatif Bloomberg Philanthropies untuk Keselamatan Jalan Raya Global (BRIGRS).- KOSMO! ONLINE