PETALING JAYA – Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) melucutkan jawatan Presidennya, Mohd. Effendy Abdul Ghani berkuat kuasa 19 Januari lalu, susulan siasatan jawatankuasa disiplin terhadap beliau berkaitan isu salah laku.
MTUC menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, Mohd. Effendy turut dilarang bertanding pada pemilihan pegawai MTUC bagi tempoh dua penggal iaitu selama enam tahun.
Menurut kenyataan itu, keputusan dibuat pada mesyuarat Majlis Am MTUC yang berlangsung 19 Januari 2025 dan telah dihadiri oleh 38 ahli majlis daripada gabungan kesatuan berfaedah.
Selain itu, Mohd. Effendy juga tidak dibenar mengguna, mewakili atau menghadiri apa-apa mesyuarat atau majlis atas kapasiti organisasi MTUC bermula tarikh kuat kuasa.
“Sebarang kenyataan daripada Mohd Effendy tidak boleh dianggap mewakili suara MTUC dan bukan tanggungjawab MTUC.
“Sebarang kenyataan beliau yang mengaitkan nama organisasi MTUC dianggap mencemarkan nama organisasi ini,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE