fbpx

‘Modus operandi sindiket kewangan sangat licik, mengelirukan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Freddie menasihatkan golongan artis agar lebih berhati-hati sebelum menerima sebarang tawaran terutama membabitkan jumlah wang luar biasa.

PETALING JAYA – Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menasihatkan golongan artis agar lebih berhati-hati sebelum menerima sebarang tawaran terutama membabitkan jumlah wang luar biasa dengan membuat semakan terperinci berkaitan syarikat.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, langkah ini penting bagi mengelakkan mereka dieksploitasi perniagaan yang menyalahi undang-undang.

“Kes mempergunakan artis bukanlah perkara baharu, sebaliknya berlaku beberapa kali sebelum ini. Manipulator sering menggunakan selebriti kerana pengaruh mereka dalam masyarakat.

“Penyertaan artis dalam sesuatu produk atau skim mampu memberi keyakinan tinggi kepada orang ramai, menjadikan mereka sasaran mudah bagi syarikat atau individu yang ingin mengambil kesempatan,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Mengulas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikat perunding kewangan dan beberapa artis yang dikaitkan dengan penipuan ratusan juta ringgit,
Freddie percaya selebriti terbabit mungkin tidak sedar mereka dieksploitasi sindiket.

“Kebanyakan mereka menerima tawaran ini, kerana selain daripada membuat persembahan, menjadi duta produk atau menerima tajaan juga merupakan sumber pendapatan utama mereka.

“Namun, saya percaya modus operandi sindiket sebegini sangat licik dan mengelirukan, seolah-olah mereka menjalankan perniagaan yang sah di sisi undang-undang sehingga artis menerima tawaran mereka,” ujarnya.

Sebagai langkah pencegahan, Freddie menyeru agar artis mengambil inisiatif mendapatkan khidmat profesional sebelum menandatangani kontrak dengan syarikat yang menawarkan tajaan atau duta.

“Dapatkan nasihat profesional jika perlu, terutama dalam hal-hal berkaitan kewangan dan perundangan.

“Jangan terburu-buru menandatangani sebarang kontrak tanpa memahami implikasinya,” katanya.

Terdahulu media melaporkan beberapa selebriti termasuk ikon inspirasi tempatan berada dalam radar siasatan SPRM dipercayai terlibat dalam sindiket tawaran pinjaman.

Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit dan seorang awam dan kesemua mereka dilepaskan daripada reman dengan jaminan SPRM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI