KEARNS, UTAH – Seorang lelaki di Kearns, negeri Utah ditahan dan dituduh melakukan pembunuhan kerana menembak mati rakannya selepas mangsa mendakwa bahawa dia kebal daripada peluru, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Ashton Jonathan Mann, 23, ditahan kelmarin selepas mayat rakannya ditemui di sebuah rumah.
Dalam kejadian awal pagi kelmarin, mangsa ditemui terbaring di atas lantai dalam keadaan berlumuran darah, manakala dadanya mempunyai kesan luka akibat tembakan.
Dia dibawa ke hospital oleh pasukan kecemasan, namun gagal diselamatkan.
Selepas disoal siasat, suspek mengaku menembak mangsa selepas rakannya itu memberitahu bahawa dia kebal peluru.
Menurut suspek, mereka bermain saling menembak menggunakan dua pucuk pistol kosong.
Namun, nasib tidak menyebelahi mangsa apabila pusingan permainan keenam menyaksikan sebutir peluru ditembak tepat ke arah dadanya.
Suspek memberitahu polis bahawa dia cuba memberi pertolongan cemas kepada rakannya sehingga ambulans tiba, namun mangsa tidak bertindak balas.
Penyiasat menemui dua pucuk pistol, peluru, kelongsong serta ‘peralatan yang konsisten dengan penggunaan ganja’. – AGENSI