KOTA BHARU – Kejadian lemas yang berlaku di Kelantan berada pada tahap membimbangkan apabila sebanyak lima nyawa terkorban sejak lebih sebulan lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, daripada jumlah itu, daerah Bachok merekodkan jumlah tertinggi iaitu empat kes manakala satu kes di Machang.
“Bagi kami (JBPM Kelantan) angka yang dicatatkan itu sangat tinggi. Justeru, kita akan melaksanakan rondaan keselamatan berkala terutamanya pada waktu puncak dan musim cuti persekolahan.
“Rondaan itu akan melibatkan Pasukan Bomba Bantuan (PBB) Safety Water Rescue yang berpusat di Bachok dan Tok Bali, Pasir Puteh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas acara Perbarisan Tahunan JBPM Kelantan di Tunjong di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Farhan Sufyan memberitahu, buat masa ini, sebanyak 21 lokasi hot spot kejadian lemas telah dikenal pasti di Kelantan.
Katanya, sebanyak 20 kes lemas direkodkan di negeri ini sepanjang tahun lalu. – KOSMO! ONLINE