DUNGUN – Kes jenayah seksual termasuk melibatkan kanak-kanak di Terengganu semakin membimbangkan dengan 634 kes telah direkodkan sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, ia peningkatan 24.8 peratus berbanding 508 kes pada tahun 2023.
“Sebanyak 154 kes jenayah seksual yang dilaporkan pada tahun lalu melibatkan kanak-kanak iaitu penambahan 11.59 peratus berbanding tahun 2023.
“Sebanyak 617 kes jenayah seksual berkenaan yang dilaporkan pada tahun lalu berjaya diselesaikan,” katanya selepas merasmikan Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Kontinjen Terengganu cawangan Dungun di sini hari ini.
CIC Dungun yang berfungsi sebagai premis aman dan selesa bagi merakam keterangan mangsa dan saksi kanak-kanak mengikut
Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 itu merupakan kedua di Terengganu selepas Kuala Terengganu.
Mohd. Khairi berkata, sebanyak 78 kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak terbabit telah menggunakan perkhidmatan CIC untuk dirakam keterangan sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, sebanyak 74 kes tersebut berjaya dibawa ke peringkat pendakwaan di mahkamah.
“Pembukaan CIC Dungun amat penting bagi melancarkan proses merakam keterangan mangsa dan saksi kanak-kanak bagi kawasan Terengganu Selatan tanpa perlu ke cawangan Kuala Terengganu yang lebih jauh.
“Ia disebabkan statistik tahun lalu menunjukkan mangsa dan saksi kanak-kanak Kemaman merupakan antara terramai menggunakan CIC di negeri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE