fbpx

K2

Kecanggihan Air Force One lambang kekuatan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Air Force One direka dengan pelbagai teknologi canggih bagi memastikan Presiden AS dapat meneruskan tugasan sama seperti di pejabat.

BIARPUN berfungsi sebagai pengangkutan untuk membawa penumpang dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain, namun Air Force One bukanlah pesawat biasa bertaraf komersial.

Secara teknikal, Air Force One merupakan isyarat pengenalan rasmi kawalan lalu lintas udara untuk pesawat milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) yang dipertanggungjawabkan membawa presiden negara tersebut.

Dalam kegunaan biasa, istilah itu merujuk kepada pesawat-pesawat Tentera Udara AS yang direka khusus untuk pengangkutan Presiden AS.

Boeing VC-25 merupakan nama versi ketenteraan bagi pesawat Boeing 747 yang telah diubah suai untuk pengangkutan Presiden AS.

Memiliki berat 362,873 kilogram (kg), Air Force One turut dianggap sebagai Rumah Putih yang terbang tinggi di udara. Sejak pengenalan Boeing VC-137C (SAM 26000) pada tahun 1962, Air Force One telah menggunakan livery tersendiri yang direka oleh Raymond Loewy.

Gabungan warna biru dan putih menjadikan rekaan Air Force One sarat dengan nilai nostalgia, sekali gus mewakili simbol ikonik era pemerintahan Presiden AS ke-35, John F. Kennedy pada 1961 hingga 1963.

Menariknya, Air Force One direka dengan pelbagai teknologi canggih bagi memastikan presiden dapat meneruskan tugasan sama seperti di pejabat termasuk membuat panggilan pada ketinggian 10,000 kaki dan mempunyai liputan internet.

Sebagai Presiden AS, Trump dan isteri, Melania menaiki Air Force One.

Selain dilengkapi dengan ciri keselamatan pada tahap maksimum, Air Force One turut memiliki beberapa kemudahan lain seperti pejabat, tandas, bilik persidangan dan suite istimewa bagi membolehkan presiden berasa selesa sepanjang perjalanan.

Di dalam pesawat tiga tingkat dengan keluasan kira-kira 4,000 kaki persegi itu, terdapat sebuah suite perubatan yang berfungsi sebagai bilik pembedahan dengan seorang doktor berada di atas kapal terbang secara kekal.

Difahamkan, sewaktu dunia bergelut dengan pandemik Covid-19 empat tahun lalu, terdapat doktor yang dikhaskan dalam pesawat bagi memastikan tahap kesihatan presiden tidak terganggu sepanjang menjalankan tugas.

Pada masa sama, terdapat dua ruang penyediaan makanan bersama beberapa kakitangan bagi membolehkan mereka menyediakan hidangan kepada 100 orang penumpang pada satu-satu masa.

Pesawat itu juga mempunyai kemudahan bilik persidangan, ruang istirahat dan dipercayai mampu memuatkan sehingga 100 orang penumpang.

Terdapat juga kawasan khas yang digunakan untuk penasihat presiden bagi membolehkan perbincangan sulit dilakukan.

Begitu juga dengan pegawai perkhidmatan rahsia, wartawan dan tetamu khas turut memiliki ruang privasi khusus.

Terdapat beberapa ruang khas seperti bilik tidur, gimnasium, kamar mandi dan ruang pejabat dikhaskan untuk kegunaan presiden.

RUANG pejabat Presiden AS di dalam Air Force One kelihatan cukup elegan.

Pesawat tersebut juga dilengkapi dengan dengan peralatan komunikasi canggih yang menghubungkan 85 unit telefon dan kira-kira 20 televisyen.

Difahamkan, biarpun berada pada ketinggian 10,000 kaki dari paras laut, alat komunikasi pesawat tersebut membolehkan presiden membuat panggilan ke mana-mana sahaja tanpa gangguan.

VC-25 mampu terbang sejauh 7,800 batu (12,600 kilometer) iaitu kira-kira satu pertiga jarak di seluruh dunia tanpa perlu mengisi minyak.

Air Force One memiliki kelebihan berbanding pesawat komersial lain kerana mampu mengisi minyak di udara.

Menurut jurucakap Rumah Putih, kemampuan pesawat yang boleh mengisi minyak di udara pada jarak tertentu bagi membolehkan presiden bergerak ke mana sahaja.

“Elektronik di atas pesawat dibangunkan untuk melindungi gelombang elektromagnet. Air Force One juga dilengkapi dengan peralatan komunikasi selamat dan termaju.

“Ini membolehkan pesawat berfungsi sebagai pusat arahan mudah alih sekiranya berlaku serangan terhadap Amerika Syarikat,” katanya.

Selain itu, beberapa pesawat kargo biasanya akan terbang mendahului Air Force One.

Pesawat kargo berkenaan membawa kenderaan rasmi dan perkhidmatan lain sekiranya presiden berkunjung ke lokasi terpencil.

Air Force One memiliki kelebihan berbanding pesawat komersial lain kerana mampu mengisi minyak di udara.

Untuk makluman, Presidential Airlift Group merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam melakukan penyelenggaraan ke atas Air Force One.

Syarikat itu diasaskan pada 1944 sebagai Pejabat Juruterbang Presiden atas arahan Presiden Franklin D. Roosevelt iaitu presiden AS ke-32.

Menurut News.com.au, pada 2027 dan 2028, Boeing 747 yang selama ini digunakan sebagai Air Force One akan digantikan dengan pesawat baharu.

Difahamkan, pesawat tersebut akan dilengkapi dengan ciri teknologi baharu yang lebih kondusif dan eksklusif.

Pesawat tersebut bukan sahaja akan menjadi pusat arahan yang selamat untuk operasi, malah terlindung daripada serangan letupan dan bahan api
di udara.

Hal ini kerana, cermin tingkap serta badan kapal terbang diperbuat daripada bahan kalis peluru dan tekanan.

Pihak tentera AS turut merancang agar pesawat tersebut dapat mendarat di lapangan terbang di seluruh dunia.

Ini bagi membolehkan presiden membuat lawatan di pelbagai negara, sekali gus mengeratkan hubungan diplomatik.

Majlis pelantikan Donald Trump sebagai Presiden AS ke-47 baru-baru ini memperlihatkan kehadiran usahawan teknologi terkemuka, Elon Musk.

Musk dikatakan bersedia untuk melakukan penambahbaikan terhadap Air Force One yang dijadualkan selesai pada 2027.

Dianggarkan sebanyak AS$5.3 bilion (RM23 bilion) diperuntukkan oleh Musk bagi memastikan pesawat presiden dilengkapi dengan pelbagai teknologi canggih seiring dengan pembangunan kecerdasan buatan (AI).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI