SABAK BERNAM – Sebuah jejantas akan dibina sebagai keperluan keselamatan mendesak terutama kepada murid dan penduduk sekitar berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Leman di sini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan yang menelan kos RM10 juta itu dijangka siap awal tahun 2027 dengan mempunyai laluan pejalan kaki dan motosikal.
Katanya, lokasi itu mempunyai aliran trafik yang tinggi dan berisiko kerana turut dilalui kenderaan berat.
“Tadi pun, saya diberitahu ada kemalangan meragut nyawa berlaku lokasi berdekatan ini semalam.
“Pembinaan jejantas mendesak kerana ada sebuah sekolah, masjid dan banyak kawasan perumahan di sini,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja di Jalan Persekutuan FT005 Sungai Besar – Sabak Bernam di sini.
Beliau menjelaskan, pembinaan jejantas ini bakal melancarkan pergerakan trafik dengan kenderaan tidak perlu berhenti untuk memberikan laluan pengguna raya melintas jalan tersebut.
Alexander berkata, sebanyak RM4. 6 juta diperuntukkan keseluruhannya bagi projek infrastruktur rakyat termasuk di daerah ini dan Kuala Selangor.
“Ia melibatkan kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan FT05 dengan keutamaan projek balik pulih jalan kritikal melibatkan kerja-kerja penurapan semula, pembaikan sistem perparitan dan penggantian struktur jalan rosak.
“Selain itu, kerja-kerja menarik taraf lampu jalan seperti penambahan lampu solar, pembaikan feeder pillar, penggantian kabel dan lampu isyarat. Ini semua bagi meningkatkan aspek dan keselesaan pemanduan di daerah ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE